26 Apr 2009

Bebalnya Zambry, Berkokok Di Kandang Harimau!!

Sesetengah orang ghairah bercakap hingga melupai dia berada di gelanggang mana. Kerana berjawatan besar dalam agensinya, ada isteri yang menganggap dia juga adalah boss dalam rumah tangga, sedangkan mengikut Islam, suami adalah ketua keluarga.

Begitu juga ada Menteri yang terbawa-bawa dengan jawatannya sebagai ketua politik menganggap dia juga boleh menentukan urusan masjid, tetapi apabila diminta mengimamkan solat terketar-ketar memberi pelbagai alasan.

Dan hari ini, Menteri Besar Kudeta Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan berlangsung pada 7 Mei ini akan tetap diteruskan. Beliau berkata persidangan berkenaan akan tetap diadakan pada tarikh yang telah ditetapkan itu walaupun Speaker V. Sivakumar masih tidak memberi kata putus mengenai tarikh tersebut.

Sepatutnya Zambry perlu sedar dia cuma ketua pentadbiran negeri yang bertanggung jawab untuk mengemudikan perjalanan kerajaan negeri, manakala urusan DUN pula adalah di bawah tanggung jawab Speaker. Apabila Menteri Besar bercakap bagi pihak DUN dia kelihatan bertindak secara tidak menghormati perlembagaan dan tidak mempedulikan doktrin pemisahan kuasa antara legislatif dan eksekutif, yang menjadi prinsip demokrasi di negara ini.

Sebagai warga sebuah negara demokrasi kita sangat kecewa dengan gelagat Zambry yang nampak jelas bertindak secara bebal dengan tidak menghormati kuasa Speaker yang masih sah di sisi undang-undang.

Zambry perlu sedar dalam DUN dia cuma ADUN biasa. Kuasa Speaker melebihi kuasa Menteri Besar di dalam DUN dan kuasa Perdana Menteri dalam Parlimen. Speaker boleh menentukan perjalanan DUN mengikut bidang kuasa yang ditetapkan kerana beliau adalah pengerusi yang mengemudikan mesyuarat DUN. Mesyuarat DUN tidak sama dengan Mesyuarat EXCO di mana Menteri Besar adalah Pengerusi Mesyuarat EXCO.

Oleh itu Zambry tidak perlu bercakap lebih-lebih melebihi kuasa yang ada padanya. Apabila berada di dalam kandang harimau mengaumlah, jangan berkokok, nanti semua harimau akan membaham anda! - pendikar gunung kriang

Raja Nazrin memalukan Raja dengan kisah Pak Kadok

Raja Dr. Nazrin didalam ucapannya ketika melancarkan buku "The Malays" hasil kajian Prof. Anthony Milner meminta rakyat untuk merenungi kisah kebodohan Pak Kadok memiliki ayam sabung yang hebat lalu dipermainkan pihak lawan dan akhirnya Pak Kadok menyerahkan ayam sabungnya kepada lawan. Pak Kadok sekadar bersorak menang sabung sedangkan kampungnya telah tergadai (Rujuk Malaysiakini, 10 Mac 2009 disini).

Kisah Pak Kadok ini sebenarnya memalukan institusi beraja itu sendiri. Saya melihat perkara ini atas 2 perkara:

(1) Seorang rakyat diperbodohkan oleh Raja
Kisah Pak Kaduk ini bukan satu cerita dogeng, kisah ini adalah kisah benar yang pernah berlaku kerana masih terdapat warisnya di Perak dimana keturunan mereka tidak boleh memakan Ikan Tapah.

Kehebatan ayam sabong Pak Kadok bernama Biring Si Kunani memang terkenal seluruh negeri. Raja terasa tercabar dan baginda tahu untuk mengalahkan Pak Kadok tipu helah perlu dibuat. Maka, sebelum pertandingan dijalankan Raja telah menetapkan syarat untuk menukarkan ayam Pak Kaduk yang hebat dan handal itu dengan ayam baginda, Si Jalak Putih Mata. Adalah malang bagi seorang rakyat yang mungkin sememangnya kurang ilmu, diperbodohkan lagi oleh seorang Raja!

Akhirnya tergadailah kampung halaman, anak dan isteri Pak Kaduk kepada seorang Raja. Pak Kadok yang pada awalnya bersorak apabila ayamnya Biring Si Kunani telah menang, tetapi pada hakikatnya dia terlupa akan perjanjian dengan Raja. Di pihak Raja, mungkin boleh dibanggakan dengan kehebatan baginda memperbodohkan seorang rakyat, tetapi adakah itu perlindungan yang sepatutnya diberikan oleh Raja kepada rakyatnya?

Raja Nazrin meminta rakyat merenungi kisah ini. Ya, sebagai rakyat kita perlu mengambil ikhtibar dari kisah ini kerana mungkin benar Raja-raja terus memperbodohkan rakyat? Tidak perlu saya memberikan jawapan, saya pasti masing-masing mempunyai intepretasinya sendiri.

(2) Raja dan tabiat berjudi
Jika saya ditempat Raja Nazrin, sudah semestinya saya tidak akan mengingatkan rakyat dengan kisah Pak Kadok ini. Hakikatnya sejarah memang tidak boleh dipadam, tetapi sesuatu sejarah yang hitam itu kita akan cuba untuk melupakannya.

Kisah Pak Kadok ini mengingatkan rakyat betapa Raja-raja ini mempunyai tabiat gemar berjudi. "Hikayat Abdullah" tulisan Abdullah Kadir Munshi juga menceritakan mengenai tabiat berjudi Raja-raja Melayu ini. Satu petikan dari Hikayat Abdullah,
"Apabila Raja-Raja itu menghendaki baik anak-anak perempuan atau barang suatu benda raayat-nya, di-ambil-nya sahaja dengan tiada menjadi sa-suatu kesusahan atau takut kepada Allah’... ‘Jikalau anak (Raja) itu lagi kechil, di-carikan-nya anak-anak perempuan yang kechil menjadi kawan-nya bermain, dan tatkala sudah besar anak (Raja) itu di-sediakan-nya gundek, dan di-beri-nya keris akan dia, maka orang-orang negeri pun memberi hormat dan takut akan-nya sebab anak Raja, maka barang kehendak-nya di-perbuat-nya-lah ke-atas raayat, maka sekalian raayat itu pun tiada-lah menegah-nya. Maka bapa-nya itu pun melawan anak-nya bermain judi dan menyabong; maka ia tiada wang, di-beri-nya wang..." (Hikayat Abdullah, muka surat 345).

Mungkin ramai yang menghukum Abdullah Kadir Munshi sebagai agen Inggeris yang di tugaskan untuk mengkritik institusi Raja-raja Melayu pada ketika itu, tetapi sekali lagi ini terpulang kepada intepretasi kita. Bagi saya tulisan Abdullah Kadir Munshi itu boleh diterima kerana beliau memperkata apa yang beliau lihat dan alami pada zaman itu. Falsafahnya mudah saja, jika tulisan Abdullah Kadir Munshi yang banyak mengutuk Raja itu adalah satu kesalahan besar, mengapa Hikayat Abdullah ini dijadikan teks sastera STPM di sekolah-sekolah Malaysia?

Apa yang boleh saya rumuskan disini ialah titah ucapan Raja Nazrin yang meminta rakyat merenungi kisah Pak Kadok itu sebenarnya akan memalukan institusi Raja-raja Melayu itu sendiri. Kisah ini akan mengingatkan rakyat betapa seorang rakyat yang lemah telah diperbodohkan oleh seorang Raja yang berkuasa. Begitu juga kisah ini mengingatkan rakyat betapa judi itu adalah tabiat Raja-raja Melayu. Apa-apa pun kita berharap agar negeri Raja Nazrin sendiri tidak diperjudikan untuk kepentingan tertentu. -drh.h/GB

Kejutan Pemilihan Kepimpinan PAS Parit Buntar

Mesyuarat Agung PAS Kawasan Parit Buntar yang berlangsung di Dewan Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husin menyaksikan satu kejutan apabila penyadang jawatan Timbalan Yang Dipertua PAS Parit Buntar yang juga Adun Titi Serong Drs Khalil Idham Lim Abdullah (imej) tewas kepada Sdr. Bahrain Desa. Sdr. Bahrain merupakan bekas Ketua Penerangan PAS Parit Buntar dan Pengarah MTD Kuala Kurau.

Sementara itu, Haji Harun Hashim mengekalkan jawatan Yang Dipertua PAS Parit Buntar setelah menewaskan pencabarnya Haji Ibrahim bin Dahalan. Bekas Adun Titi Serong Peguam Ahmad Azhar Sharin mengekalkan jawatan Naib Yang Dipertua tanpa bertanding. Manakala penyadang Ketua Urusan Ulama Ust. Haji Ahmad Ismail tewas kepada Ust. Muhammad Yaakob.

Berikut keputusan penuh pemilihan kepimpinan PAS Parit Buntar :

YDP : Haji Harun Haji Hashim - 161
TYD : Sdr. Abdul Bahrain Desa - 106NYDP : Sdr. Ahmad Azhar Sharin - MTB
Ketua Ulama : Ust. Muhammad Yaakob - 126

Ahli Jawatankuasa :
1. En. Fakhrurazi Haji Khalid - 173
2. Haji Ahmad Tyndareus Haji Awang - 160
3. En. Hamdan Fadel Ahmad - 152
4. Haji Ibrahim Haji Dahalan - 148
5. Dr. Mahyudin Ibrahim - 142
6. Sdr. Adnan Abd Rahman - 141
7. Pn. Norijan Omar - 134
8. Pn. Rahimah Osman - 130
9. En. Hosni Mokhtar - 124
10. En. Azhari Hadi - 121
11. Dr. Abdul Rahman Bakar - 120
12. YB Drs. Khali Idham Lim Abdullah - 99
13. Ust. Haji Ahmad Ismail - 98
14. Sdr. Khairul Nizam Ishak - 97
15. Ustz. Azizah Awang - 96
16. Sdr. Abdul Halim Yahaya - 86

Pengerusi Tetap : Haji Abdul Rahman Wahab - 121
Timbalan Pengerusi Tetap : Ust. Haji Osman Haji Idris - 115

Pemerisa Kira-kira :
1. Sdr. Nasharuddin Rashidi - 137
2. En. Ismail Abdullah - 132

sumber: cenangau

Mahfuz Hantar Memo Berkaitan Imej Najib Kepada Majlis Raja-Raja

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar akan mengorak langkah menghantar satu memorandum kepada Majlis Raja-Raja Melayu minggu depan bagi memohon penubuhan sebuah Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat segala dakwaan terhadap Perdana Menteri baru, Datuk Seri Najib Razak.

Suruhanjaya tersebut juga dilihat perlu bagi mengatasi krisis kewibawaan Datuk Seri Najib yang kredibiliti dan kepimpinannya kini semakin dipersoalkan rakyat dan masyarakat antarabangsa.

Ketika dihubungi TV Antara beliau berkata perkara berhubung imej Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia sangat serius dan memerlukan tindakan segera dan konkrit daripada Raja-Raja Melayu sebagai payung keutuhan dan kestabilan negara

"Rakyat mempertikaikan kredibiliti Perdana Menteri negara kita malah media barat turut menyiarkan laporan berita yang mengaitkan beliau dengan pembunuhan Altantuya.

"Perkara ini sangat serius kerana masyarakat antarabangsa sudah bercakap mengenainya dan ini boleh menjejaskan imej negara.

"Oleh sebab itu saya berpendapat satu Suruhanjaya Diraja perlu ditubuhkan bagi menyiasat segala dakwaan terhadap Datuk Seri Najib dan membersihkan namanya sekiranya beliau tidak bersalah," kata beliau lagi.

Datuk Mahfuz menambah sekiranya Perdana Menteri didapati tidak bersalah Suruhanjaya Diraja tersebut wajib menyaman media barat yang memfitnah beliau.

Walaupun beliau menyifatkan langkah menghantar memorandum ini sebagai sebagai inisiatif peribadi beliau sebagai Ahli Parlimen Datuk Mahfuz berharap rakan seperjuangan daripada Pakatan Rakyat akan turut bersama-sama menghantar dokumen tersebut kepada pihak Istana Negara. -TVA/GB

Media Arus Perdana Cuba Lagakan Anwar-Guan Eng

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menafikan wujudnya pergeseran antara beliau dan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Anwar Ibrahim.

Media arus perdana melaporkan kononnya Anwar mahu menamakan pemenang Pilihan Raya Kecil N12 Penanti sebagai Timbalan Ketua Menteri (I) – tanpa merujuk kepada Guan Eng.

Guan Eng menafikan ‘media spin’ itu dan berkata Anwar tidak membuat sebarang kenyataan rasmi berhubung perkara perlantikan.

“Sudahkan Anwar membuat pengumuman rasmi mengenainya?” soal Guan Eng kepada media.

“Saya fikir Anwar belum lagi membuat keputusan rasmi mengenai hal itu. Lagipun kita masih lagi menunggu apakah Penanti akan dipertandingkan atau tidak,” tambah beliau.

Setiausaha Agung DAP itu turut menyifatkan laporan itu sebagai spekulasi semata-mata, dan berharap media lebih bertanggungjawab di masa hadapan.

Guan Eng bercakap kepada media selepas menghadiri forum kesamarataan jantina anjuran Wanita DAP di Kuala Lumpur hari ini

Sebelum ini, arus media perdana cuba melagakan dua pemimpin Pakatan Rakyat tersebut berhubung isu perletakan jawatan Fairus sebagai Adun Penanti.

Isu itu bagaimanapun diselesaikan dalam semangat permuafakatan di antara dua pemimpin kanan Pakatan Rakyat selepas Anwar memohon maaf baru-baru ini.

Ada media berpendapat keterbukaan kedua pemimpin itu menyuarakan kritikan membina secara terbuka, dan kesanggupan memohon maaf diatas masalah yang berlaku menguatkan lagi kerjasama antara pimpinan Pakatan Rakyat. -TVA/GB