12 Jun 2009

PAS UMNO : Hadi Ulangi Kesilapan Asri

1. Tan Sri Datuk Mohd Asri Haji Muda adalah bekas Yang DiPertua Agung (kini dipanggil Presiden) PAS yang keempat selepas Haji Fuad Hasan, Dr Abbas Ilias (pemangku) dan Dr Burhanuddin Al Helmi.

2. Beliau juga adalah Presiden PAS yang paling lama memegang teraju kepimpinan – sekitar 14 tahun. Sewaktu PAS memperoleh kejayaan demi kejayaan – kemenangan 12 MP PAS dan penguasaan Kelantan pada tahun 1969, menguasai beberapa kementerian dan agensi kerajaan sewaktu PAS menyertai BN dan pelbagai lagi, Datuk Asri disanjung tinggi.

Cukup tinggi. Pada ketika itu, tidak sedikit ahli PAS yang taksub pada Datuk Asri lantaran kebijaksanaan strategi siasahnya, kehandalan berpidatonya serta PRnya yang menyenangkan.

3. Namun, dalam penceritaan sejarah Presiden PAS hari ini, Datuk Asri telah digambarkan sebagai seorang yang telah tercabut dari akar perjuangan. Beliau dikatakan telah membawa parti kepada ideologi Nasionalis Islam. Kepimpinan dan jasa beliau semacam tidak dikenang lagi. Seboleh mungkin nama Asri mahu dipadamkan terus dari sejarah PAS. Saya tidak pasti adakah pemuda-pemuda yang pernah memalukannya dalam muktamar dulu pernah memohon maaf pada akhir-akhir hayatnya sebagaimana Tun Mahathir menyantuni Tunku Abdul Rahman.

4. Dalam Muktamar Thanawi PAS 1982,beliau telah dijatuhkan sangat kasar dan biadab. Mahfuz Omar dan Mat Sabu adalah antara pemuda PAS yang berdiri sepanjang muktamar mengecam dan menghentam Asri. Laungan ‘Takbir’ dan ‘Marakbar Asri’ menguasai Tingkat 5, Dewan Bahasa dan Pustaka pada hari itu. Datuk Asri akur dan berundur dalam kekecewaan yang tiada taranya.

5. Mengapa perkara itu berlaku pada seorang Presiden parti yang disanjung tinggi?

6. Apabila Asri memutuskan untuk menyertai BN pada 1973, majoriti masih menganggap keputusan itu betul. Apabila Asri memutuskan untuk keluar dari kabinet Tun Hussein Onn pada 1977 lantaran rampasan kuasa di Kelantan, majoriti ahli PAS masih menganggap beliau betul. Memang ada suara yang mengkritik, tapi masih sembunyi-sembunyi. Waktu itu blog pun belum wujud – tidak sebagaimana hari ini.

7. Apabila PAS kalah teruk dalam Pilihanraya Umum 1978 dan kemudiannya 1982, Asri Muda mula dipersalahkan secara besar-besaran. Ahli mula tersedar dan percaya bahawa Datuk Asri telah banyak membuat keputusan-keputusan yang tidak betul.

8. Wujud perancangan sulit untuk menjatuhkan beliau. Lebih halus, istilah Kepimpinan Ulama’ dicipta dan didoktrinkan kepada ahli. Kebetulan Timbalan Presiden PAS pada ketika itu adalah seorang Ulama’ – Tuan Guru Haji Yusuf Rawa. Kepimpinan PAS bertukar tangan kepada golongan Ulama’. Natijahnya tidak dinafikan baik, parti telah menjadi semakin kukuh dan PAS mula berpengaruh.

9. Tetapi satu fakta yang tidak boleh dinafikan adalah PAS berpengaruh melalui kesempatan, bukan kekuatan. Pada 1990, pakatan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dengan Semangat 46 serta 1999 – Era Reformasi pasca pemecatan Anwar Ibrahim. PAS belum pernah dan belum mampu mencipta kejayaan atas kekuatan yang dimiliki sendiri.

10. Mengapa ini berlaku?

11. Segala-galanya adalah berpunca daripada bagaimana cara ahli PAS berfikir. Baik 30 tahun dulu ataupun pada hari ini.

12. Mereka lupa bahawa pada era Datuk Asri dulu, ahli-ahli PASlah yang menyebabkan parti itu lemah. Parti itu lemah kerana Presidennya kerapkali membuat keputusan yang salah. Keputusan yang salah itu berlaku kerana ahli-ahlinya yang tidak menasihati Presiden. Ahli-ahli terlalu yakin dengan kebijaksanaan, kehebatan dan kemuliaan pemimpinnya itu. Lebih parah apabila sanjungan dan keyakinan ahli itu telah ditafsirkan sebagai mandat mutlak ahli kepadanya (Asri).

13. Mandat mutlak adalah punca kejatuhan banyak kerajaan demokratik di dunia. Apabila pemimpin menganggap bahawa kepimpinannya diterima secara mutlak, maka pemimpin itu cenderung untuk membuat keputusan berdasarkan gerak hati sendiri, bukannya pandangan massa apatah lagi pendapat ahli-ahli bawahan yang dianggap pasti akan tetap menyokongnya dalam apa jua keadaan. Hasilnya – bercambahlah keputusan-keputusan yang salah. Keputusan-keputusan yang salah itu akan menyebabkan parti akhirnya rebah.

14. Apa yang berlaku pada 30 tahun yang lalu tidak mustahil akan berulang lagi.

15. Apabila Presiden terlalu yakin dengan kebijaksanaan peribadinya sehingga mengabaikan nasihat-nasihat yang baik dan kritikal terhadapnya, parti sedang dibawa ke lembah kebinasaan. Lebih parah apabila pimpinan-pimpinan utama dipilih dan dilantik dari kalangan yang sukar berbeza pandangan dengan Presiden. Semalam Cikgu Pa yang boleh dianggap veteran parti telah dilantik sebagai Setiausaha Agung (Saya akan mengulas dalam tulisan yang akan datang).

16. Pada masa ini, ahli masih tidak memberontak. Kalaupun ada, hanya letusan-letusan kemarahan di ruang-ruang blog dan kedai-kedai kopi. Pada masa ini kerusi PAS di Parlimen masih banyak, 2 kerajaan negeri masih dikuasai. Ahli-ahli masih berada dalam zon yang sangat selesa. Sangat selesa hinggakan ahli tidak perlu berfikir dengan kuat tentang apakah yang terbaik untuk parti.

17. Apabila keputusan-keputusan salah terus dibuat oleh pucuk pimpinan, hasilnya akan dilihat dalam PRU 13 nanti. Pada waktu itu PAS mungkin akan tewas di banyak kerusi parlimen. Kedah dan Kelantan mungkin kembali ke tangan UMNO. Jika itu berlaku, ahli-ahli PAS akan mula marah secara besar-besaran. Mereka akan mula lupa pada Kepimpinan Ulama’. Mereka akan lupa pada status Ulama’ seorang Presiden. Mereka akan lupa segala-galanya yang mereka sedang pertahankan pada hari ini.

18. Pada waktu itu, Ustaz Hadi mungkin akan diperlakukan lebih teruk daripada Asri Muda.Mungkin selepas itu konsep Kepimpinan Ulama’ akan terus berkubur.

19. Jika ini berlaku, PAS akan menunggu masa yang lama lagi untuk pulih.

20. Al Fatihah untuk Allahyarham Datuk Mohd Asri Haji Muda.

- hasbiemuda

PAS UMNO : Kemana Halatuju PAS?

Quo Vadis PAS?
Oleh Amin Ahmad

Saya dijemput oleh Astro Awani untuk membincangkan ‘Hala Tuju Parti Islam se-Malaysia (PAS)’ sempena berakhirnya muktamar parti itu pada 7 Jun 2009. Turut serta bersama saya ialah Encik Ibrahim Suffian, Pengarah Merdeka Centre.

Sebagai pemerhati politik, saya tidak melihat cita-cita PAS untuk menjadi parti utama dalam politik negara sebagai masalah besar. Sesuai dengan kewujudannya yang melangkaui separuh abad, sewajarnya PAS meletakkan cita-cita yang demikian. Justeru itu, saya merasakan kenyataan Dato’ Paduka Husam Musa bahawa “PAS mesti berfikir untuk menjadi alternatif kepada UMNO” sebagai satu kenyataan penting berbanding cadangan untuk mewujudkan “kerajaan perpaduan” oleh sebilangan pendokong PAS.

Tambah rumit, dalam usaha PAS menonjolkan diri sebagai parti utama, terlihat sisi perbincangan dasar yang berlaku dalam muktamar kali ke-55 itu gagal mewakili cita-cita ini. Kenapa saya berpendapat demikian?


1. Wujud gesaan awal bahawa kepimpinan PAS ‘wajib’ diserahkan kepada kelompok ulama’.

Saya bersyukur apabila usul ini tidak diterima malah saya berpendapat bahawa usul ini tidak harus ada pun! Pertamanya, PAS gagal menjelaskan siapa yang mereka maksudkan kelompok ulama’ ini. Adakah kelompok ini mereka yang memiliki ijazah dalam bidang pengajian agama? Bagaimana pula dengan ilmuan dalam bidang professional yang mempunyai fikrah agama? Kenapa usul ini muncul? Tidak cukupkah Majlis Syura dan Dewan Ulama’ PAS yang telah sedia ada? Tapi jauh lebih penting daripada itu, saya berpendapat gesaan ini muncul dari faham eksklusif yang menjadikan prinsip kepimpinan sebagai salah satu peranan manusia kepada undang-undang pengetahuan (rule of knowledge) sebagaimana Sokrates membincangkan isu kebebasan dalam karya Republic. Prinsip persamaan di mata hukum yang menentukan peluang di padang sama rata terabai dari cadangan ini.

Saya tidak pasti sama ada ini telah menjadi cadangan bersama gerakan-gerakan yang memakai label Islam di negara lain. Apa yang pasti, kepimpinan ulama’ adalah idea yang dikembangkan dari semangat Revolusi Iran 1979 – konsep Wilayatul Faqih. Sambil PAS mahu melihat idea ini sebagai baik dan patut dikembangkan, PAS juga harus belajar rentetan kezaliman yang muncul pasca kejayaan Revolusi Iran 1979 atas nama agama.

Secara politiknya, saya melihat usul ini muncul dari pergelutan dalaman PAS apabila wujud kelompok ulama’ yang membelakangi Majlis Syura mereka di peringkat awal untuk berunding dengan UMNO. Saya difahamkan, YB Ustaz Nasharuddin Md Isa selaku Timbalan Presiden PAS waktu itu (dan dipilih semula dalam muktamar kali ini) telah berunding dengan wakil UMNO melalui arahan YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Hadi Awang, Presiden PAS. Namun, tindakan ini dibantah oleh kalangan professional dan Mursyidul Am PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.

2. Kerajaan Perpaduan

Antara topik penting yang dibincangkan ialah berkaitan Kerajaan Perpaduan. Saya fikir tajuk ini bukan saja menjadi keperihatinan dalaman PAS, tetapi juga pemerhati politik di luar PAS.

Sebagai sebuah parti yang memakai label Islam, saya percaya keinginan PAS untuk berinteraksi dengan semua pihak barangkali banyak disandarkan atas faktor dakwah. PAS sebagai parti politik yang tentu sekali perlu bertarung untuk merebut kuasa sering kali terperangkap dengan pilihan tindakan politik dan tindakan agama.

Pertikaian ramai orang dalam hal ini tentu saja kerana PAS harus komited dengan persetujuan untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat (PR) bersama Parti keADILan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP). Saya fikir, ramai yang membantah kerana siri awal rundingan PAS dan UMNO ini yang membelakangi Majlis Syura telah menyebabkan pemerhati-pemerhati politik, terutama yang bersimpati dengan PR tidak mahu percaya bulat dengan idea Kerajaan Perpaduan. Meskipun Majlis Syura memberi lampu hijau kemudiannya, ia dilihat tidak lebih dari keputusan politik untuk menjaga imej PAS akibat keterlanjuran yang berlaku.

Pada saya, jika PAS mengatakan idea Kerajaan Perpaduan sebagai satu sikap dakwah, lebih baik PAS meneruskan usaha menggesa supaya institusi dan ruang demokrasi disegarkan. PAS boleh terus berdakwah kepada siapa saja melalui institusi dan ruang demokrasi yang ada. Interaksi PAS dengan semua pihak, bukan saja UMNO, ternyata akan lebih baik melalui institusi dan ruang demokrasi yang dijamin.

PAS harus faham dalam membaca kebimbangan ramai jika PAS dan UMNO bergabung sebagai kekuatan politik. Kebimbangan ramai ini absah jika kita mengambil kira pendedahan Ustaz Ahmad Awang, Pesuruhjaya PAS Perak yang mendakwa adanya arahan dari pihak tertentu dalam kepimpinan parti yang mahu PAS Perak bersama UMNO menubuhkan kerajaan negeri di sana.

Kebimbangan ramai selain dari faktor politik ‘tidak percayakan UMNO’ ialah kebimbangan yang lebih besar. Meskipun mungkin majoriti orang Melayu Muslim beranggapan penggabungan ini penting untuk kelangsungan kuasa Melayu Muslim di Malaysia, ia tetap mempunyai risiko tersendiri.

Penggabungan ini akan melanjutkan kempen politik berbaur perkauman. Akan berterusan dasar-dasar perlindungan terhadap Melayu Muslim di samping dasar-dasar yang seakan menggambarkan kalangan bukan muslim sebagai “warganegara kelas kedua”. Untuk saya, ini sangat tidak mewakili semangat, cita-cita dan kaedah Islam! Malah, ia mungkin mengheret negara kita ke arah ketegangan kaum yang berterusan.

3. Usul mengharamkan Sisters in Islam (SIS)

Saya fikir ini usul yang menjadi kayu aras kenapa sebahagian Yang Berhormat PAS akan menjadi mangsa di tempat-tempat tertentu, terutama kawasan campuran di bandar semasa Pilihan Raya. Ia bukan kerana para pengundi sangat menyukai SIS, tetapi masyarakat sivil di bandar menolak segala pendekatan autoritarian.

Kewujudan SIS untuk saya punya peranan yang signifikan, meski ada hal-hal yang tidak kita persetujui. Kita tidak boleh membelakangi sumbangan SIS yang banyak hanya kerana ada hal-hal yang kita sifatkan ‘menggugat aqidah umat Islam’.

Mengambil semangat dakwah sebagai landasan hujah untuk Kerajaan Perpaduan, PAS seharusnya menggunakan ruang demokrasi untuk menjawab balas hujah-hujah SIS. Keluasan Fekah harus diambil sebagai jalan inklusif. Usul pengharaman SIS yang diterima tanpa bahas adalah ciri mundur PAS.

Saya berpendapat bahawa setiap perbezaan secara aman mesti ditangani secara aman. Penggunaan kuasa untuk menafikan kebebasan asasi setiap individu atau kelompok dalam masyarakat bukan pilihan terbaik untuk menawarkan Islam sebagai sistem pemerintahan. Malah, jika orang ramai menerima idea pemerintahan Islam sekalipun, tidak mustahil jika mereka tidak mahu idea-idea ini digerakkan oleh PAS atas faktor kepercayaan sebagaimana ‘rasa tidak percaya kepada UMNO’.

4. Lain-lain

Saya juga terbaca kritik Dewan Pemuda PAS terhadap agenda liberalisasi sektor perkhidmatan yang diluluskan kerajaan bagi menghidupkan ekonomi negara. Untuk saya, hujah yang ada dibentangkan secara cetek dan ia patut diperkemaskan lagi. PAS tidak boleh selamanya bersandarkan sentimen dalam berhujah jika benar-benar mahu menerajui negara. Jika selama ini PAS banyak bergantung harap kepada penyokong mereka di luar bandar, mereka harus lebih banyak berdepan dengan pengundi bandar yang jauh lebih kritikal dan rasional serta bercampur pelbagai latar belakangnya. Hanya dengan ini PAS akan lebih bertambah baik dalam hal menggariskan hala tuju mereka.

Sebagai parti politik, bukanlah satu anomali untuk PAS mempunyai cita-cita politik yang besar. Namun dari apa yang tergambar di muktamar ke-55, saya berpendapat PAS belum bersedia untuk menerajui Malaysia ke depan – untuk masyarakat tempatan, apatah lagi berdepan dengan dunia luar.

Cuma barangkali yang lebih pentingnya ramai yang akan sentiasa bertanya Quo vadis PAS? atau mungkin lebih tepat ila aina tawajjaha al-hizbul Islami PAS?

Amin Ahmad, mendapat pendidikan di Universiti Putra Malaysia. Beliau adalah mantan Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UPM dan pernah memegang beberapa jawatan lain di peringkat Kolej, Fakulti Pengajian dan Universiti. Pernah mewakili delegasi Malaysia dalam Program Pembangunan Kepimpinan Belia ASEAN. Alumni Kepimpinan Muda Nahdah Asia, sebuah projek kerjasama Institut Kajian Dasar dan Yayasan Aman Sasakawa (SPF) dan alumni Cato University. Kini merupakan Penyelidik bagi Malaysia Think Tank.


SPRM Mohon Sumbangan Derma Dari UMNO

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Muhammad Hassan memberi sogokan RM20,000 kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Negeri Sembilan untuk membiayai aktiviti kelab sukan badan itu, seorang pemimpin kanan PKR mendedahkan hari ini.

Kesanggupan Pengarah SPRM Negeri Rozaini Idris memohon dan menerima wang itu daripada pejabat Menteri Besar menjejaskan lagi kredibiliti SPRM sebagai badan bebas dan berkecuali, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Badrul Hisham Shaharin.

Beliau berkata “urusniaga” antara SPRM dan pejabat Menteri Besar itu hanya menguatkan pesepsi selama ini bahawa SPRM bersikap pilih kasih dengan menutup hampir semua aduan rasuah terhadap Datuk Seri Muhammad.

Antara tuduhan-tuduhan yang dihadapi Muhammad Hassan adalah pembabitan ahli keluarga dalam pentadbiran kerajaan, penyalahgunaan kuasa dan politik wang.

“Laporan bukan sahaja dibuat oleh individu atau pembangkang, tetapi laporan yang dibuat dari kumpulan pemerintah juga tidak dilayan,” katanya.

Badrul berkata Pengarah SPRM Negeri Sembilan telah menghantar sepucuk surat memohon sumbangan menampung perbelanjaan bagi menghantar kakitangannya untuk menyertai pertandingan yang akan diadakan pada 11 hingga 16 Jun 2009,” kata Badrul.

Muhammad Hassan bingkas bersetuju dan telah memberikan cek bernilai RM20,000 kepada Kelab Sukan SPRM Negeri Sembilan, kata Badrul.

“Ini jelas melanggari etika,” kata Badrul, yang juga Ahli Jawatankuasa Perhubungan PKR Negeri Sembilan.

“Memohon, menyumbang dan menerima sumbangan ini telah menjadi kesalahan dari segi etika. Menteri Besar dan SPRM mempunyai pertembungan kepentingan,” tambah Badrul

Kerajaan Najib Altantuya ; Warden Belasah Enam Banduan

Sekurang-kurangnya 6 banduan cedera parah selepas didakwa digari dan dipukul oleh pegawai warden Penjara Sungei Buloh, Selangor, menurut badan hak asasi manusia Suaram.

Suaram mendakwa sekurang-kurngnya 20 banduan dipukul dalam kejadian semalam itu. Pihak penjara sehingga kini belum memberikan sebarang ulasan rasmi.

Penyelaras Suaram Tah Moon Hui berkata kira-kira 10 pegawai warden memukul kumpulan banduan berkenaan atas alasan yang tidak dapat dipastikan.

Beliau berkata 14 daripada yang cedera tidak diberikan rawatan perubatan.

Suaram menggesa kerajaan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat kejadian itu yang dikatakan berlaku antara pukul dua hingga dan lima petang semalam. -SK


PAS TAK MUNGKIN BERSAMA UMNO - Bekas Menteri

Saya yakin PAS dan Umno tidak boleh bekerjasama,” itulah sepatah komen orang lama Umno, Datuk Fauzi Abdul Rahman, yang kini adalah Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat Negeri Pahang.

Fauzi adalah bekas ADUN Beserah, Ahli Parlimen Kuantan dan Timbalan Menteri semasa dalam Umno dahulu. Sebelum menyertai PKR, beliau pernah diura-urakan akan menyertai PAS.

Beliau mengulas ribut kerajaan perpaduan yang ditafsirkan banyak pihak sebagai PAS mahu bekerjasama dengan Umno. Padahal, kerajaan perpaduan adalah cadangan Presiden PAS untuk menyatukan semua pihak dalam Pakatan Rakyat dengan semua pihak dalam BN bukannya kerjasama antara PAS dengan Umno.

Bagi Fauzi pemimpin PAS adalah dari kalangan cerdik-pandai belaka, kerajaan perpaduan bagi beliau hanyalah batu yang dilontarkan pemimpin PAS ke lubuk Umno bagi menguji tenangnya air, rupa-rupanya banyak buaya dan ular yang sedang kebuluran.

Dalam konteks Negeri Pahang, setelah menyertai dan memimpin PKR, sekaligus bersama PAS dalam Pakatan Rakyat, Fauzi memandang PAS sebagai tunjang bersama. Bersama Pakatan Rakyat, PAS sebagai sebuah parti akan terus bersatu dan semakin kuat.

Sedangkan PAS, jika bersama-sama Umno dalam BN akan sentiasa dilihat dan dikenal sebagai “parti kedua orang Melayu.” Sebagai pemain kedua, bagi Fauzi, PAS tidak akan mampu berperanan di dalam BN dan tidak akan terserlah. PAS juga, jika bersama dengan Umno akan berhadapan dengan risiko untuk berpecah dan menjadi lemah.

Mengulas akan ketidakyakinannya yang PAS boleh bekerjasama dengan Umno, Fauzi menjelaskan bahawa dasar PAS atau lain-lain parti dalam Pakatan Rakyat selama ini adalah kerajaan bersih, idea yang bagi Fauzi yang pernah berpuluh tahun di dalam Umno, tidak didokong oleh kepimpinan parti lamanya itu.

Mengakhiri ulasannya, bagi Fauzi jikapun benar memang wujud polemik dalam parti PAS akibat gagasan kerajaan perpaduan yang dibicarakan semua orang mutakhir ini, bagi beliau polemik itu adalah hal dalaman PAS, dan sebagai pemimpin PKR, rakan komponen PAS dalam Pakatan Rakyat, beliau menghormatinya dan mengambil sikap untuk tidak mencampurinya. -Zukry Aksah

Kerajaan Najib Altantuya Perlu Siasat Ketua Polis Negara

Gerakan mahasiswa, Solidariti Anak Muda Malaysia hari ini membidas keengganan kerajaan menyiasat kenyataan bersumpah tiga pegawai polis yang mendakwa Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan bersekongkol dengan Ah Long atau ceti haram tanah air.

Pengerusi gerakan itu, Badrul Hisham Shaharin berkata kenyataan bersumpah itu sudah menjadi asas yang kukuh untuk menyiasat Musa.

“Kewujudan kenyataan bersumpah dari tiga anggota PDRM iaitu ASP Hong Kin Hock, ASP Md. Yusof Ahmad dan Sarjan Mohd Yasin Malik yang mengaitkan Musa Hassan dengan Ah Long tidak boleh ditolak begitu sahaja,” tegas Badrul.

Beliau menambah kerajaan seharusnya menggantung tugas Musa dan pegawai polis terbabit serta-merta dan mengadakan siasatan bebas, berkecuali terhadap dakwaan itu.

Badrul, yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat, menunjukkan kepada krew TV Antara salinan akuan bersumpah ASP Hong Kin Hock.

Turut bersama di sidang media itu ialah Adun Paroi Taufek Abdul Ghani dari Pas.

Ketika membuat akuan bersumpah itu pada tahun 2007, Hong adalah seorang pegawai di Cawangan Operasi/Bantuan Teknik Jabatan Siasatan Jenayah Komersil.

Beliau dikatakan mengesan pembabitan Musa dalam kegiatan kongsi gelap apabila diarah oleh pegawai atasan untuk mengumpul maklumat mengenai kegiatan Ah Long di Johor dan Melaka.

Menurut Hong, sindiket Ah Long berkenaan dikatakan mengguna Musa Hassan untuk melindungi mereka daripada tindakan polis.

Hong berkata Musa telah mengarahkan tindakan tata tertib diambil terhadapnya apabila beliau mula menyiasat seorang pemimpin sindiket berkenaan yang digelar Tengku.

Alasan Musa ialah Hong kononnya telah membuat rakaman risikan secara tidak sah ketika menjalankan siasatan berkenaan.

“Saya merasa tertekan kerana tindakan saya mematuhi arahan pegawai atasan saya dalam menjalankan risikan terhadap kegiatan ceti haram yang membabitkan nama Tengku, boleh menyebabkan saya dikenakan siasatan oleh Bahagian Tatatertib,” kata Hong dalam kenyataan bersumpahnya.

Badrul berkata kenyataan bersumpah Hong dan dua pegawai polis lain atas perkara sama tidak harus ditolak oleh pihak berkenaan begitu sahaja kerana Musa adalah pegawai polis tertinggi negara.

Satu siasatan bebas dan menyeluruh harus diadakan demi kredibiliti Polis diRaja Malaysia dan untuk membela semua anggota polis yang menjalankan tanggungjawab mereka tanpa mengira bulu, kata Badrul. -TVA

UG Bersama UMNO : Jangan Cuba Menipu Ahli Jemaah Lagi

Perlantikan Mustafa Ali sebagai SU Agung amat amat menyedihkan saya. Mengapa? Kerana dimanakah maruah Parti Islam seperti PAS meletakkan orang yang pernah berbohong kepada AJK PAS Pusat berkenaan berjumpa dengan UMNO dalam gelap.

Bila dilihat kembali tahun lepas sewaktu khabar-khabar angin bertiup berkenaan berlakunya perjumpaan dalam gelap, Mustafa Ali menafikan keterlibatan beliau. Malahan, Ustaz Nasa juga menafikan. (seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini.

Ini telah memaksa Mahfudz Omar menarik balik kenyataan beliau yang pada mulanya menafikan berlakunya perjumpaan antara UMNO dan PAS.(rujuk sini ).

Ini bererti berlaku pembohongan yang jelas oleh mereka yang terlibat dalam perjumpaan dalam gelap bersama UMNO dan PAS. Ini juga bererti perjumpaan itu adalah “salah” dari sudut prosedur dan peraturan PAS serta niat perjumpaan juga adalah salah. Kalau tidak mengapa perlu berbohong?

Dengan kata lain, perjumpaan dalam gelap tersebut adalah perjumpaan yang berniat jahat dan bertujuan jahat. Itulah sebabnya sehingga hari ini Mursyidul Am menentang segala usaha yang dilakukan untuk merapatkan PAS dengan UMNO i.e. cadangan Kerajaan Perpaduan.

Rakyat Amerika yang Kafir Menolak Pimpinan Mereka yang Berbohong

Richard Nixon terpaksa meletak jawatan sebagai Presiden Amerika kerana terlibat skandal Watergate. Hakikatnya, beliau dipersalahkan bukan kerana terlibat dalam skandal tersebut, tetapi kerana telah berbohong kepada rakyat Amerika tentang keterlibatan beliau dalam isu tersebut.

Gary Hart terpaksa menarik diri dari menjadi calon Demokrat menentang G. Bush Senior kerana beliau telah berbohong berkaitan skandal seks beliau.

Namun, Bill Clinton tidak perlu pula meletak jawatan sebagai Presiden Amerika kerana beliau telah mengaku dengan jelas akan keterlibatan beliau dalam skandal Monica Lewinsky.

Ini bererti, rakyat Amerika yang bukan Islam itu menunjukkan akhlak Islam yang lebih tinggi kerana menolak pimpinan2 mereka yang telah berbohong.

Perwakilan2 PAS pula telah menaikkan pimpinan2 mereka walaupun pimpinan itu terbukti berbohong.

Inikah dia akhlak Islami yang cuba ditunjukkan oleh PAS dan perwakilan-perwakilan PAS di seluruh Malaysia?

Bolehkah ahli-ahli PAS selepas ini mengatakan bahawa mereka membawa panji Islam apabila mereka terbukti mempunyai akhlak yang lebih rendah berbanding rakyat Amerika yang 90% bukan Islam?

Perlantikan Nasa dan Cikgu Pa membuktikan bahawa perwakilan2 PAS menerima amalan berbohong. Itulah masej yang telah dihantar kepada keseluruhan rakyat Malaysia dan rakyat dunia.

Bagaimanakah PAS hendak dipercayai lagi selepas ini? BAgaimanakah PAS hendak menyampaikan dakwah Islamiyyah mereka selepas ini? -malaysianwaves

Ulasan Ringkas GB

Di zaman IT ini janganlah ada pemimpin yang cuba berdusta dengan orang bawahan. Semua maklumat di hujung jari.


UG Besama UMNO : Hadi Akur Kepada Nik Aziz

Dari dulu lagi Tuan Guru Mursyidul 'Am PAS katakan, hentikanlah Muqabalah tu; tapi masih ada yang berdegil mahu meneruskannya juga hingga TGNA naik angin dan terpaksa kata, mereka yang mahu meneruskan Muqabalah dengan Umno ini adalah 'Boneka Umno'.

Dengan berterus terang TGNA menempelak TGHH dengan katanya, idea Kerajaan Perpaduan Hj Hadi itu sebagai mengarut.

Tetapi, terbaru kini, nampaknya TGHH nampak akur terhadap saranan TGNA supaya tidak mengadakan apa-apa perbincangan atau Muqabalah dengan Umno. Beliau dilaporkan sebagai berkata :

"PAS tidak akan mengadakan sebarang muqabalah, atau dialog, dengan Umno sehingga parti tonggak Barisan Nasional itu patuh kepada Perlembagaan, membebaskan media dari kongkongan dan memulihkan kewibawaan institusi mahkamah. [KLIK]

Macam mana dengan pendirian TGHH ini sebenarnya? Hari tu kata lain, kini kata lain. Janganlah sampai TGNA naik semput dibuatnya.

Laporan itu turut menyebut :

Menyentuh permintaan pemimpin-pemimpin Pakatan supaya beliau memperjelaskan isu kerajaan perpaduan, Abdul Hadi berkata beliau akan berbuat demikian dalam perbincangan dari hati ke hati dan bebas daripada cubaan media arus tempatan untuk memutar belitkan kenyataan-kenyataannya.

Komen saya : Ini yang semakin keliru - apabila diminta beri penjelasan, TGHH masih terus memberikan pelabagai alasan dan alasan.

Tambah Hadi, isu kerajaan perpaduan BN-Pakatan ini tidak perlu diperbesarkan kerana ia tidak dibahaskan secara menyeluruh oleh PAS, mahupun pada peringkat mesyuarat dasar Pakatan Rakyat.

Inilah yang menyebabkan ramai kalangan ahli di peringkat grass root malah pimpinan sendiri yang menentangnya kerana idea tersebut lebih bersifat pendapat peribadi Hj Hadi sahaja dan bukan kehendak jemaah PAS. Macamana orang nak faham dan bagaimana kami nak sokong kalau perkara tersebut 'tidak dibahaskan secara menyeluruh oleh PAS' bagi mendapatkan satu sikap dan pendirian yang tegas dan telus.

Kalau dari mula-mula dulu TGHH kata seperti mana [di sini] dan ikut sebagaimana keputusan Muktamar PAS 54 di Ipoh dulu,tentu tidak jadi kecoh. Rasanya tidak perlu TGHH nasihatkan kita semua supaya rajin membaca untuk memahami cetusan ideanya itu!(agaknya TGHH sedang buat projek menulis buku pasal UG - baguslah!)

Tetapi yang bertambah peliknya, walaupun isu Kerajaan Perpaduan Hj Hadi ini diakui sendiri oleh Hj Hadi bahawa 'ia tidak dibahaskan secara menyeluruh oleh PAS, mahupun pada peringkat mesyuarat dasar Pakatan' namun ada kalangan yang mendabik dada mengaku serba tahu berkenaannya dan marah-marahkan TGNA! - Al-Hussyen


PAS UMNO : Boneka UMNO Menghina Nik Aziz Lebih Hebat UMNO Menghinanya

Nampaknya ada di kalangan barua dan boneka UMNO dalam PAS (geng-geng ustaz Nasharudin) mula mempertikaikan kepimpinan Tuan Guru Nik Aziz, Mursyidul Am PAS. Mereka juga mempersoalkan campur tangan TG Nik Aziz.... hingga ada yang dengan kurang ajar mengatakan TG Nik Aziz dah nyanyok.......... nampak sangat mereka bodoh dan dungu.

Memang Mursyidul Am PAS tiada kuasa eksekutif dalam Organisasi PAS... namun lupakah ustaz Nasharudin bahawa Mursyidul Am PAS adalah Pengerusi Majlis Syura PAS iaitu badan tertinggi dalam PAS....

Lupakah ustaz Nasha si tali barut UMNO bahawa Mursyidul Am mempunyai kuasa veto membatalkan keputusan Presiden yang pada pandangan Majlis Syura melanggar etika perjuangan Islam, merugikan PAS dan melanggar syariat Islam..... Lupakah mereka????

Nik Aziz punca PAS kuat

Lupakah ahli PAS semua bahawa Tuan Guru Nik Aziz adalah IKON yang menjadikan PAS kuat dan berpengaruh.... Ramai kalangan rakyat bawahan jatuh cinta dengan ketokohan dan kesederhanaan Tuan Guru Nik Aziz dan itu menjadi punca kenapa mereka menyokong PAS.


Kesederhanaan Tuan Guru Nik Aziz terkenal di seantero dunia sehinggakan jika kita merantau ke ceruk Britain, Australia, Amerika..ramai kalangan imam-imam di sana menyatakan kekaguman terhadap Tuan Guru Nik Aziz....

Sehinggakan ramai Muslim Singapura dan Brunei sanggup datang ke Kelantan semata-mata untuk meminta Tuan Guru 'cukur jambul' anak mereka dan mendoakan anak mereka..malahan ada seorang hartawan Singapura yang kagum dengan sikap sederhana Tuan Guru telah memberi sumbangan besar dalam bentuk pelaburan ke Kelantan.

Anak-anak muda masa kini ramai yang sokong PAS bukan kerana ideologi yang dibawa oleh PAS...bukan kerana negara Islam PAS... TETAPI kerana jatuh cinta dengan kesederhanaan dan ketokohan Tuan Guru Nik Aziz yang menjadi IKON dan CONTOH terbaik seorang insan yang bertakwa.... dari situ baru mereka menerima PAS dan menyokong PAS.

Ramai kalangan bukan Islam khususnya orang Cina juga menyokong PAS kerana kagum melihat ketokohan dan kesederhanaan Tuan Guru Nik Aziz.....

Sedarlah.... ramai menyokong PAS kerana jatuh cinta dengan ketokohan, kesederhanaan dan kewarakan Tuan Guru Nik Aziz......

Tuan Guru Hadi Awang????... tanyalah rakyat bawahan..mereka tak kenal pun...malahan semasa Hadi Awang jadi Menteri Besar Terengganu, ramai rakyat Terengganu bengang dan kecewa dengan sikap Hadi Awang yang terlalu ikut telunjuk Mustapha Ali dan Nasharudin si tali barut UMNO.. pengkhianat perjuangan Islam....... hingga kini...sukar bagi PAS menawan Terengganu....

Tidak dapat saya bayangkan PAS tanpa ketokohan Tuan Guru Nik Aziz.....kita sudah pun kehilangan Almarhum Ustaz Fadzil Noor, pemimpin lagenda PAS.... wahai ahli PAS, selagi masih ada Tuan Guru Nik Aziz bersama kita... hargailah..... dengarilah.. taatilah..sebelum dia melangkah pergi....

Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan,
Intai tuan guru antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan


- marul77

Singapura Lihat PAS Sebagai Pengganti UMNO Dalam Senario Politik Malaysia


Perpaduan Nasional dan dasar luar merupakan topik yang mendominasi diskusi diantara Menteri Kanan Singapura dengan pemimpin PAS malam kelmarin.

“Kami menerima juemputan dari Lee Kuan Yew untuk satu pertemuan dan saya menyambutnya secara positif. Semasa pertemuan 1 jam kami membincangkan diantara lainnya isu perpaduan nasional dan pandangan PAS di dalam kontekssebuah negara berbilang kaum,” demikian dinyatakan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada pemberita hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat yang berlansung selama tiga jam.

Hadi menyatakan beliau ditanya mengenai pendekatan parti Islam terhadap dasar luar.

“Kita menyatakan secara terus terang di dalam menjelaskan bahawa Islam itu terbuka kepada semua, kita mengutamakan perdamaian dari peperangan, dan mempertahankan keadilan untuk semua,” tambah Hadi.

Lee di dalam rangka lawatan sehari ke Malaysia dan selain bertemu pemimpin negara, beliau juga bertemu beberapa pemimpin parti politik, dan dijangka akan mengadakan pertemuan dengan beberapa ketua kerajaan negeri termasuk Mentri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Nik Mat.

Pertemuannya dengan pemimpin-pemimpan PAS dilihat sebagai pengakuan Singapura terhadap peri pentingnya perkembangan Parti Islam di dalam senario politik tanair.

Kunjungan Lee yang terkahir ke Malaysia ialah pada 2005.


UMNO BN AKAN PANGGIL PILIHANRAYA MENGEJUT?


Umno/BN sedang mengatur strategi licik dan sulit untuk mengembalikan kuasa mutlak mereka di negara kita. Setelah mereka dikejutkan dengan kejayaan PR menafikan majoriti 2/3 di Parlimen, BN memerah otak untuk menyerang dan melemahkan lawannya PR.

Tidak semena-mena BN mendapat 'tongkat' baru iaitu mempopularkan istilah kerajaan perpaduan dengan menyatakan bahawa PAS mahu bergabung atau bekerjasama dengan Umno untuk menggagaskan kerajaan perpaduan.

Lebih malang lagi ada dakwaan menyatakan bahawa pimpinan kita sendiri seolah-olah seronok dan terliur untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno. Malah tiada penafian secara rasmi dan tegas dibuat oleh pimpinan samada benar atau tidak kerajaan perpaduan hendak dibentuk.

Akhirnya isu kerajaan perpaduan ini menjadi barah kepada PAS dan PR antara simptom yang kita dapat lihat ialah :-

Rakan-rakan dalam PR mula sangsi kepada PAS

Rakyat Malaysia yang bukan Islam mula 'confuse' dan hilang keyakinan kepada PAS

Ahli-ahli PAS dan penyokong PAS terkeliru, pening dan tertanya-tanya benarkah PAS mahu membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno.

Simptom di atas akan merebak jika tidak dibendung dengan cepat. Jika ianya merebak dan membarah, saya yakin BN akan mengambil kesempatan dan akan membubarkan parlimen kerana mereka yakin rakyat sudah sangsi kepada PAS/PR dan mereka akan menang dengan mudah kerana PR sendiri berada dalam kemelut dalaman yang hebat.

Untuk itu saya sekali lagi menyeru pimpinan atasan PAS membuat kenyataan segera berhubung ISU KERAJAAN PERPADUAN demi untuk memadamkan api dalam sekam yang kelihatan mula berkelip-kelip dalam diam dan tersembunyi.

Api ini jika tidak dipadam segera kemungkinan akan membakar sekam tersebut malah akan membakar bangsal dan rumahnya sekali. Pada masa itu siapa yang hendak dipersalahkan?

Dengan rasa rendah diri dan dengan hati yang tulus ikhlas saya mohon pimpinan supaya membuat tindakan cepat dan tangkas untuk mematikan isu ini dengan membuat kenyataan tegas bahawa PAS TIDAK PERNAH DAN TIADA CITA-CITA UNTUK MEMBENTUK KERAJAAN PERPADUAN DENGAN UMNO.

Jika ini tidak dilakukan saya yakin isu ini akan semakin merebah dan membarah. -SOFI WAHAB

Desak PAS Tubuh Jawatankuasa Khas Siasat Kroni UMNO Taja Muktamar

Ini maklumat sekonder yang aku kutip dari ucapan Khalid Samad, MP dan ketua PAS bahagian Shah Alam, dalam muktamar yang baru berlalu.

Menurutya, segala perbelanjaan pada hari dia berucap itu, dan hari-hari muktamar sebelum hari itu dibiayai oleh Puncak Niaga.

"Mungkin juga bil-bil hotel perwakilan-perwakilan, jika diperlukan (dibayar oleh Puncak Niaga)," tambah Khalid.

Puncak Niaga juga membayar ruang2 iklan dalam majallah yang diedarkan dalam muktamar serta memaparkan sepanduk2 syarikat itu.

Untuk makluman, Puncak Niaga adalah syarikat yang telah merompak bisnes bekalan air di Selangor dan Wilayah Persekutuan, dan kini berperang dengan kerajaan negeri Selangor kerana MB Khalid Ibrahim mahu mengambil alih kembali perusahaan air itu untuk diurustadbir oleh Selangor.

Ini kerana banyak pembaziran dan bocoran (air dan juga songlap RM) dalam Puncak Niaga. Bayangkan gaji CEO Puncak Niaga Rozali Ismail sahaja RM5.1 juta setahun. Berapa juta RM pula untuk ahli2 lembaga pengarah lainnya?

Pengguna air di Selangor dan Wilayah Persekutuanlah yang terpaksa memikul beban kos melampau itu.

Yang bermasaalahnya, Puncak Niaga dapat dokongan dari kerajaan BN Persekutuan!

Dan kini komponen Pakatan Rakyat Selangor, parti PAS?

Kena tikamlah Khalid Ibrahim, bukan dari belakang, dari depan beb! -uknowsanasini.

Ulasan GB

Nampaknya hal ini dipandang remeh oleh pimpinan PAS. Satu perarakan nampaknya perlu dilakukan di hadapan Pejabat PAS untuk mendesak sebuah Jawatankuasa Khas ditubuhkan bagi menyiasat kes ini.

Sesiapa juga yang terlibat, secara lansung atau tidak perlu di bawa ke muka pengadilan. Roslan SMS (Ketua Penerangan PAS Selangor) dikatakan dalang kepada isu yang memalukan ini telah menikus apabila ditanya.

Semua akaun muktamar dan ahli jawatankuasa urusetia perlu disiasat.

Sebarang bukti sila kumpulkan dahulu. Kita tidak akan lepaskan mereka seperti mana ketegasan Nabi yang menyatakan sekalipun fatimah mencuri nescaya kupotong tangannya.


Laporan polis dan SPRM akan dibuat dengan keputusan kolektif.

PAS UMNO : PAS Terengganu Lebih Selesa Berada Di bawah UMNO BN

GB menerima banyak email yang meminta GB mengulas lagi isu Kerajaan Perpaduan.

Namun setelah memaparkan dengan detail mengenai kisah-kisah Ummi Maktum, Perjanjian Hudaibiyah dan Perang Siffin (hasil tulisan YB Khalid Samad), GB rasa memadailah ia kerana pihak pro UG pun sehingga kini tidak pernah mengeluarkan sebarang tulisan yang komprehensif mengenai Kerajaan Perpaduan.

Tiada satu pun tulisan dan suara para blogger yang didengari dan dihormati oleh Presiden dan pimpinan PAS. Mana yang tak disukai ahli itulah yang menjadi keputusannya. Penyokong tegarnya pula gemar menuduh kita yang bukan-bukan kononnya kita pemfitnah kerana idea itu dah ditarik balik (kalau ditarik balik kenapa sibuk warwarkan semula?), kononnya ia tak disebut dalam Ucapan Dasar (kenapa sibuk menjawabnya semasa di tanya wartawan), kononnya ia hanya sekadar satu idea (kenapa lontarkan ke tengah masyarakat sebelum ia dimesyuawarahkan) dan pelbagai hujjah untuk menegakkan benang yang basah.

Terus terang kita nyatakan UG hanyalah suatu idea dan gagasan kosong untuk memenuhi cita-cita untuk menjadi PM. Untuk apa melayaninya jika beliau sendiri sudah tidak mahu mendengar permintaan kita supaya diterangkan sejelas-jelasnya idea dan gagasannya itu atau setidak-tidaknya dikonvensyenkan?

Tuan Guru Mursyidul Am, Nik Abdul Aziz menyifatkan ia sebagai mengarut dan mereka yang menyokongnya adalah boneka UMNO. Memang tepat.

Kini kita beralih mengenai barisan pimpinan PAS Terengganu,

Prof Dr Hamirdin Ithnin di dalam blognya telah membuat ulasan di bawah tajuk PAHIT TERENGGANU BERULANG.

Ingat lagi pilihanraya 1999? Terengganu jatuh ke tangan PAS. Ingat pilihanraya 2004? Terengganu terlepas daripada tangan PAS. Mengapa Terengganu dirampas daripada PAS? Senang saja jawapannya. Pengundi hantu!

Tetapi benarkah Terengganu jatuh disebabkan oleh pengundi hantu? Atau mungkin ada faktor faktor lain yang beroperasi tetapi tidak diendahkan? Tidak dihebuhkan dan tidak didedahkan di manakah salahnya sehingga Terengganu dirampas daripada genggaman PAS. Tetapi tim yang menatang Terangganu pada ketika itu kita ketahui.

PAS sekarang berada dalam genggaman tim sama yang meleburkan penguasaannya terhadap Terengganu. Peleburan sokongan kepada PAS adalah sesuatu yang boleh berlaku. Ia pernah berlaku.

Tim yang ada sekarang, dengan track record yang mereka punyai, sekali lagi cuba membawa PAS ke gaung keperitan.

Nak lihat dan perhati sahaja? - Prof. Dr. Hamirdin Ithnin


Tulisannnya diatas sudah cukup jelas yang GB rasa tak perlu diulas panjang.

Terengganu kini memegang beberapa jawatan penting PAS Pusat apatah lagi menguasai jawatan Presiden dan Setiausaha Agong yang mana kedua-duanya adalah akitek Kerajaan Perpaduan yang menjahanamkan jemaah itu.

Beberapa orang sahabat dari komponen Pakatan Rakyat menyatakan jika kita sudah mengetahui sikap dan stand PAS Terengganu, naper perlu susah payah untuk bantu mereka lagi seperti PRK Kuala Terengganu di dalam pilihanraya akan datang? Bukankah mereka sebenarnya lebih suka, selesa dan rela duduk di bawah naungan UMNO BN?

Itu pilihan mereka. Maka kita hormatinya. Tak payah nak bising-bising kerana anda sudah ada Mustafa Ali sebagai S/U Agong PAS Pusat yang cukup pandai dan bijak untuk memanipulasikan apa saja untuk menjayakan missi dan visinya termasuk harakah dan harakahdaily. Gandingan beliau dengan Presiden melengkapi konsep kediktatoran di dalam PAS yang tak pernah mahu mengaku salah dan tak pernah mahu mendengar kata-kata orang bawah sebab mereka sudah pun merasa terlalu pandai dari sekalian manusia di atas dunia ini. Baik kita tumpukan usaha di negeri-negeri yang mahu setia bersama Pakatan Rakyat.

Apatah lagi bagi Tuan Presiden, golongan profesyenal tak penting dalam PAS apa tah lagi kita-kita yang bukan ulamak dan bukan prosyenal ini, lagi ler sikit habuk pun tak der nilai pada matanya.

Tak mungkin Teresa Kok, Ronnie Liu, Gobalakrishnan, Lim Guan Eng sanggup bersusah payah seperti dulu lagi apabila Mustafa telah menutup mulut mereka. Hati mereka belum tenang lagi wahai Mustafa!

Biarkan saja PAS Terengganu seperti Si Luncai dengan labu-labunya
Biarkan saja penyu terus menangis lagi tanpa lagu
Biarkan saja PAS Terengganu memilih jalannya sendiri
atau nyanyikan sahaja lagu Pak Pung Pak Mustape untuknya setiap hari